SUNGAI PETANI, 13 Julai – Tiada sebarang keperluan mendesak untuk mengadakan Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 26 Julai ini, tegas Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohamad Taufiq Johari.
Beliau berkata, tindakan mengadakan perhimpunan sedemikian perlu mempunyai asas kukuh, bukan sekadar agenda politik tanpa matlamat jelas.
Mengulas lanjut, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan kesungguhan merancakkan ekonomi negara selain menerima sokongan padu daripada 154 Ahli Parlimen secara konsisten.
“Saya tak pasti apa asas himpunan itu. Yang paling penting, kita mesti tahu apa desakan sebenar. Jika pembangkang benar-benar berani untuk menurunkan Perdana Menteri, saya mencabar mereka bawa usul tidak percaya di Parlimen dan lihat adakah ia mendapat sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan media berhubung Himpunan 'Turun Anwar' ketika menghadiri majlis penyerahan projek naik taraf Medan Selera Jalan Dewa di sini, pada Ahad.
Tambahnya, Perdana Menteri berusaha meningkatkan pelaburan asing, bantuan kebajikan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan setiap tahun dan peningkatan Belanjawan Madani.
“Jadi, apakah keutamaan penganjuran himpunan tersebut? Sekadar mainkan sentimen dan apa sebab sebenar mahu ‘Turunkan Anwar’?,” soalnya.