PENAMPANG, 13 Julai - Dasar Pengguna Negara (DPN 2.0) dalam fasa akhir penggubalan sebelum dimuktamadkan, bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks dalam ekosistem kepenggunaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, DPN 2.0 akan memperincikan peranan dan tanggungjawab setiap pemegang taruh, sama ada secara langsung atau tidak langsung berkaitan dengan pengguna.
DPN 2.0 turut memberi penekanan kepada isu kos sara hidup rakyat melalui pendekatan dasar yang inklusif dan responsif.
"Kita sasarkan supaya Dasar Penggunaan Negara ini dapat kita muktamadkan dalam masa terdekat, untuk saya bawa ke Jemaah Menteri pada bulan Oktober. Ini yang akan menjadi panduan dasar penggunaan negara bermula 2026 hingga 2030.
"DPN 2026-2030 dan DPN ini sasarannya untuk menjadi rujukan utama kepada semua pemegang taruh yang ada di negara kita ini, untuk kita khususnya, memaknai tentang tanggungjawab dan peranan tentang kepenggunaan ini", katanya.
Beliau berkata kepada media sebelum Majlis Perasmian Penutupan Festival Kepenggunaan 2025 (CONFEST 2025) di Penampang.
Dalam pada itu, menerusi DPN 2.0 juga, logo Skuad Kita Pengguna (SKiP) akan dilancarkan, sebagai rakan strategik KPDN bagi menggerakkan advokasi kepenggunaan di seluruh negara.
Pemerkasaan peranan SKiP turut digerakkan melalui pertambahan ahli di seluruh negara dengan sasaran 25,000 keahlian.