KUALA LUMPUR, 9 September - Ekosistem penyelidikan dan inovasi dalam sektor agromakanan terus diperkasa melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan PNB Research Institute Sdn. Berhad (PNBRI).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu akan mendukung agenda digitalisasi serta membuka peluang baharu dalam sektor pertanian sekali gus memperkukuh hala tuju demi kelangsungan sektor berkenaan.
“Pemeteraian ini bukan sekadar formaliti, tetapi komitmen KPKM dalam memodenkan sektor pertanian. Ia juga menandakan permulaan kerjasama rintis antara KPKM dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) demi pembangunan pertanian negara.”
Beliau berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) KPKM–PNBRI di Menara Merdeka 118, di ibu negara.
Menurutnya, penyelidikan amat penting bagi mengenal pasti jurang bekalan, tahap kebergantungan import serta keupayaan pengeluaran domestik. Hasil kajian itu akan menjadi asas kepada perancangan dasar, strategi dan pelaburan sektor agromakanan yang mampan selaras aspirasi Malaysia MADANI dan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030.
“Menerusi kepakaran PNBRI dalam penyelidikan ekonomi dan analisis data, saya yakin usaha kerajaan untuk melonjakkan sektor agromakanan ke tahap lebih berdaya maju dapat diperkukuh. Saya berharap kerjasama strategik ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi awam–swasta demi menjamin kelangsungan sektor agromakanan negara.”
Kerjasama itu juga memberi akses kepada PNBRI terhadap data penting agromakanan negara bagi tujuan analisis dan penyelidikan.
Pada 2024, sektor agromakanan merentas pelbagai bidang ekonomi mencatatkan sumbangan sebanyak 11.3 peratus atau RM186 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), berbanding RM178.6 bilion pada tahun sebelumnya.