fb fb fb fb fb

KKM, MOF muktamadkan pelaksanaan Program PPO Plus

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisma Awang Sauni / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 September - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF) sedang dalam proses memuktamadkan pelaksanaan Program Perjanjian Off Take Plus (PPO Plus) sebagai usaha menggalakkan pelaburan domestik dalam pengeluaran produk farmaseutikal dan peranti perubatan kritikal oleh syarikat tempatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisma Awang Sauni berkata dengan pelaksanaan program itu dapat memastikan bekalan ubat negara lebih terjamin dan berkualiti tanpa bergantung sepenuhnya bekalan import.

"Antara pembaharuan dicadang KKM dalam rangka PPO Plus adalah keutamaan diberikan kepada produk farmaseutikal di bawah senarai ubat-ubatan penting kebangsaan atau National Essential Medicine List (NEML) dan ke atas produk farmaseutikal atau peranti perubatan yang berstatus Single Product Registration Holder (PRH) dengan penyertaan ditetapkan kepada pihak pembuat atau pengilang tempatan yang boleh menghasilkan produk-produk tersebut untuk pasaran Malaysia," katanya.

Tambah beliau, polisi graduasi atau 'exit policy' akan turut dilaksanakan bagi mewujudkan persaingan lebih terbuka kepada syarikat lain yang berminat dan komited.

Selepas tempoh komitmen diberikan kerajaan, produk akan diperolehi melalui tatacara perolehan yang sedang berkuatkuasa.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Senator Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli mengenai status PPO Plus serta pembaharuan dicadangkan KKM dalam program berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE