fb fb fb fb fb

Kestabilan, potensi ekonomi kukuh kedudukan ASEAN di pentas dunia

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

BANDARAYA MELAKA, 9 September - Kestabilan politik, potensi ekonomi luar biasa serta keupayaan menarik pelaburan global, terus meletakkan ASEAN sebagai salah satu rantau berdaya saing di peringkat global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain hubungan berteraskan kepercayaan sesama pemimpin negara-negara serantau ia membolehkan ASEAN berdepan cabaran kompleks.

"ASEAN adalah unik, salah satu rantau paling aman di dunia, paling dinamik dari segi ekonomi, dengan potensi yang besar dan luar biasa, menarik pelaburan dari seluruh dunia, sambil mengekalkan pendirian geopolitik yang menghormati prinsip kesentralan. Ia sangat sukar untuk dilaksanakan, namun kita mampu melakukannya kerana kita bekerja sebagai satu pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di sini.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa pendekatan ASEAN mesti berorientasikan masa depan serta berpaksikan rakyat bagi memastikan komuniti serantau terus kukuh.

Ciri-ciri tersebut membezakan ASEAN daripada rantau lain sekali gus menjadikannya antara kawasan paling stabil dan memiliki keupayaan kompetitif di pentas dunia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI