fb fb fb fb fb

Empat fokus utama dalam AMMTC, demi keselamatan serantau

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA

BANDA HILIR, 9 September - Empat fokus utama diberi perhatian pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dalam mendepani cabaran serantau selain mencari penyelesaian bersama bagi keselamatan negara-negara anggota.
 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan kolektif itu termasuk kegiatan penyeludupan manusia dan penipuan dalam talian.

"Mesyuarat yang akan saya pengerusikan selama dua hari bermula esok bertujuan untuk mendengar pembentangan daripada negara-negara anggota.

"Sebagai contoh, Singapura akan membentangkan topik berkaitan jenayah siber, Malaysia akan membentangkan isu berkaitan kemanusiaan, diikuti oleh Vietnam dan negara-negara lain dengan agenda masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di sini.
 
Mesyuarat yang berlangsung dari 8 hingga 12 September ini juga turut disertai rakan dialog dari China, Jepun dan Korea Selatan dan dihadiri lebih 300 perwakilan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI