PUTRAJAYA, 13 Mei - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat punca kemalangan maut melibatkan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pasukan itu juga akan bertanggungjawab mencadangkan dan menambah baik aspek keselamatan susulan nahas itu.
"Petugas khas itu akan ditubuhkan segera dalam masa terdekat. Mereka terdiri daripada pakar-pakar dan ahli bebas supaya dapat menasihati pihak kementerian untuk mengambil langkah-langkah yang seterusnya, selain daripada siasatan yang akan dibuat pihak polis" katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya.
Program dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya.