fb fb fb fb fb

MOT rancang bina Akademi JPJ di borneo

Foto BERNAMA

TIANG DUA, 11 Mei- Kementerian Pengangkutan (MOT) merancang membina Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di borneo bagi kemudahan jangka panjang ke arah memperkasa pasukan penguat kuasa berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pihaknya masih dalam peringkat perancangan dan permohonan itu telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 tahun ini.

"Ada perancangan untuk membina satu akademi di borneo untuk Sabah dan Sarawak kerana maklumlah anggota di Sabah dan Sarawak mereka nak berlatih dia kena datang ke semenanjung.

"Jadi adalah lebih baik kalau untuk untuk jangka masa panjang ada akademi di borneo, mereka boleh berlatih.

"Jadi ini dalam peringkat perancangan lagi, belum dapat kelulusan bajet daripada Kementerian Kewangan.

"Kita telah masukkan permohonan ini kepada rancangan Malaysia yang seterusnya, kita tunggulah kelulusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, Digitalisasi Memacu Profesionalisme di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, beliau juga merasmikan bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi siri "FFF” yang boleh didapati dalam sistem bidaan.

Untuk rekod, tahun lalu bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi siri "FF” mencatatkan hasil kutipan tertinggi dalam sejarah dengan kutipan berjumlah RM34.3 juta.

Sementara itu, Loke berkata MOT tidak pernah membenarkan mana-mana penyedia aplikasi perkhidmatan pengangkutan e-hailing menggunakan sistem bidaan harga kepada penumpang di negara ini.

Loke berkata, beliau sudah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyemak sistem berkenaan yang mula digunakan dalam kalangan pemandu e-hailing ketika ini.

Terdahulu, terdapat kewujudan aplikasi e-hailing menggunakan sistem bidaan yang semakin menjadi pilihan.

Melalui aplikasi itu, pemandu e-hailing boleh meletakkan harga sendiri bagi satu jarak perjalanan sebelum dibida pelanggan sekiranya kadar tambang itu dipersetujui.

"Tak ada, tidak itu sesuatu yang saya rasa APAD akan lihat dalam perkara ini sebab memang kita pun tidak dimaklumkan lagi.

"Saya akan minta APAD untuk lihat perkara itu. setakat ini, memang kita tidak benarkan apa-apa lagi," katanya.

Penggunaan sistem itu menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam apabila sesetengahnya berpendapat ia memaksa penumpang membayar harga lebih tinggi dan lebih menguntungkan pemandu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM