fb fb fb fb fb

MOT laksana penggunaan SLD bermula Oktober

Anthony Loke

SHAH ALAM, 13 Jun- Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan penguatkuasaan penggunaan peranti had kelajuan (speed limitation device atau SLD) ke atas kenderaan perdagangan secara berperingkat bermula Oktober depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelaksanaan itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa, bermula dengan proses pengesahan dan pengaktifan peranti tersebut dalam usaha memperkukuh keselamatan jalan raya negara.

"Pada fasa pertama pelaksanaan, semua bas persiaran, bas ekspres serta kenderaan berat yang mempunyai berat maksimum melebihi 3,500 kilogram dan didaftarkan mulai 1 Januari 2015 dan seterusnya adalah diwajibkan untuk mendapatkan pengesahan kefungsian serta laporan SLD.

"Pengesahan ini mestilah diperoleh daripada pihak yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sama ada daripada pengilang atau pengeluar kenderaan, Perkhidmatan Teknikal (Technical Service), bengkel atau fasiliti servis yang bertauliah, ataupun badan pensijilan yang diperakui oleh Jabatan Standard Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelaksanaan Penggunaan SLD Bagi Kenderaan Perdagaan di Scania (Malaysia) Sdn. Bhd di sini.

Dokumen Pengesahan Kefungsian dan Laporan SLD wajib diperbaharui setiap dua tahun dan perlu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dan ketika permohonan atau pembaharuan Permit di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Dokumen tersebut juga perlu dibawa setiap masa di dalam kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan oleh JPJ.

Dalam pada tiu Anthony Loke turut menjelaskan bahawa semua bas dan kenderaan berat akan dihadkan kepada kelajuan maksimum 90 km/j melalui pemasangan wajib peranti SLD.

"Sebagai contoh, walaupun lebuh raya tertentu mempunyai had laju sehingga 110 km/j, kenderaan yang dilengkapi SLD tetap akan dihadkan kepada 90 km/j.

"Penguatkuasaan ini akan dilakukan secara konsisten. Namun begitu, pemandu tetap perlu mematuhi had laju yang ditetapkan di kawasan tertentu," katanya.

Beliau turut memaklumkan, JPJ akan mengadakan mesyuarat dengan pengeluar kenderaan utama serta badan pensijilan bertauliah berkaitan pelaksanaan mandatori SLD dalam masa terdekat.

"Maklumat lanjut berkenaan mekanisme pelaksanaan serta senarai syarikat dan badan pensijilan yang diiktiraf untuk mengesahkan pemasangan SLD akan diumumkan di laman web rasmi JPJ tidak lama lagi," katanya.

Langkah proaktif itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan maut, khususnya melibatkan kenderaan berat yang membawa muatan besar atau penumpang dalam jumlah ramai.

SLD atau peranti kawalan had laju ialah sistem yang direka untuk menghadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan, bagi memastikan pemanduan kekal dalam had selamat dan terkawal.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI