fb fb fb fb fb

MOT dapatkan pandangan PDRM, MKN tingkat keselamatan lapangan terbang

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 16 April - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dalam meneliti penambahbaikan aspek keselamatan di lapangan terbang di seluruh negara.

Menterinya Anthony Loke berkata, ini termasuk cadangan agar pihak lapangan terbang mengadakan pengimbas, supaya pengesanan awal dapat dilakukan terhadap orang awam yang membawa barangan terlarang seperti mercun dan senjata api.

Katanya, perbincangan lanjut antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku operator atau pengendali lapangan terbang diperlukan untuk langkah menambah baik aspek keselamatan itu.

"Jadi saya menyerahkan kepada mereka untuk mengadakan perbincangan, sebab ini melibatkan soal operasi dan apa-apa perubahan terhadap prosedur operasi standard (SOP) di lapangan terbang, perlulah diadakan perbincangan lebih lanjut terlebih dahulu, kemudian baharulah kementerian mengambil maklum," katanya ketika mengulas insiden tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad,

Beliau ditemui media selepas Majlis Pelancaran Stesen Pengecasan EV, Evlution di RHB Centre, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Ahad, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya.

Kejadian berlaku ketika wanita itu sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan.

Polis setakat ini mengklasifikasikan motif kes berkaitan perihal peribadi dan suspek telah direman tujuh hari bermula hari ini, selepas ditahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 3.00 petang semalam.

TETITIA YUSOFF