KUALA LUMPUR, 9 September - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited memperluas program STI 100 on The Power of Three (STI 100³) khususnya di sekolah-sekolah yang terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman susulan keberkesanan pelaksanaannya ketika ini dalam menarik minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Susulan itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, kementerian sedang meneliti mekanisme kewangan sedia ada sebagai usaha memastikan penyertaan murid yang inklusif dan lebih seimbang.
"Kementerian sedang meneliti mekanisme peruntukan sedia ada agar penyelarasan dibuat dengan menetapkan peruntukan maksimum RM5,000 kepada saintis yang dipadankan dengan sekolah luar bandar dan pedalaman semasa kitaran padanan yang dijadual berlangsung September 2025," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Datuk Mustafa Musa berkenaan sambutan, impak program dan unjuran pertambahan pelajar yang memilih subjek Sains Tulen dan STEM di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan daripada Program STI 100³.
Sejak diperkenalkan pada September 2024, seramai 233 orang saintis tempatan telah dipadankan di 233 buah sekolah.
Daripada jumlah keseluruhan sekolah terlibat, 140 sekolah bersamaan 62 peratus merupakan sekolah di kawasan bandar manakala, 88 sekolah iaitu 38 peratus terletak di kawasan luar bandar.
Jelas Datuk Mohammad Yusof, jurang penyertaan murid di kawasan luar bandar berpunca kos perjalanan yang lebih tinggi.
Selain itu, bagi tempoh sama seramai 77,710 orang telah menerima manfaat dalam Program STI 100³ terdiri daripada murid, belia, guru, pentadbir dan ibu bapa.