KUALA LUMPUR, 9 September - Penyediaan ASEAN Smart City Action Plan (ASCAP) 2026-2035 yang bakal menjadi rujukan strategik serantau dalam membentuk bandar yang hijau, inklusif dan digital antara tumpuan utama mesyuarat tahunan kelapan ASEAN Smart Cities Network (ASCN8).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang juga Presiden UNHabitat berkata ASEAN boleh menjadi contoh kepada dunia bahawa pembangunan bandar bukan sahaja pintar tetapi juga berperikemanusiaan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.
"Kita harap pelbagai teknologi inovasi yang telah berjaya dibangunkan oleh negara kita, termasuk pelbagai inisiatif pintar ini, dapat dikongsi bersama rakan-rakan serantau dalam ASEAN bagi memastikan tidak ada sesiapa atau satu bandar pun yang tertinggal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Perasmian ASEAN Smart Cities Network (ASCN8) di ibu negara.
Pada masa sama beliau turut menegaskan komitmen Malaysia membawa model pembangunan bandar pintar rantau ini yang bersifat inklusif, inovatif dan berdaya tahan iklim ke peringkat antarabangsa.
"Kita komited membawa model pembangunan bandar pintar rantau kita yang inklusif, inovatif dan berdaya tahan iklim ke dalam agenda dunia seperti New Urban Agenda (NUA) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)," katanya lagi.
ASCN8 yang berlangsung dari 8 hingga 12 September ini, antara lain menghimpunkan pemimpin serantau, pakar bandar pintar dan pelbagai pihak berkepentingan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Dengan tema ‘Fostering Stronger Cooperation Towards Common Goal for Smart and Sustainable Urban Development in ASEAN’, Malaysia mengukuhkan peranan sebagai peneraju serantau dalam memperkukuh kerjasama ASEAN bagi menjayakan agenda bandar pintar dan pembangunan lestari untuk generasi akan datang.
Menurut kenyataan penganjur, selain mesyuarat rasmi, ASCN8 turut menampilkan sesi perbincangan dasar dan teknikal melalui pameran Smart City Connect serta bicara pakar Smart City. Platform ini menjadi medium perkongsian antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat awam.
Delegasi ASCN8 juga dijadualkan melawat Putrajaya Command Centre dan Putrajaya Wetlands bagi meninjau kemajuan Malaysia dalam pembangunan infrastruktur digital serta usaha pemuliharaan alam sekitar berasaskan prinsip kelestarian.