PUTRAJAYA, 9 September - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap kes yang dikaitkan dengan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador berhubung penerokaan mineral di Sabah telah selesai dan ditutup.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan pihaknya mendapati syarikat itu tidak pernah memohon tanah daripada Kerajaan Negeri Sabah, sebaliknya hanya mengemukakan permohonan untuk eksplorasi mineral kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).
"Sebenarnya tidak apa-apa eksplorasi yang telah dijalankan kerana syarikat tidak membekalkan dokumen berkenaan dan siasatan telah dijalankan dengan memanggil semua yang terlibat.
"Akhirnya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan dan tiada isu 'governans' yang terlibat di sini," kata beliau pada sidang media berhubung perkembangan kes SPRM di sini, hari ini.
Jelas beliau, permohonan berkenaan hanya kebenaran bersyarat yang diberikan SMM pada Mac 2023, dan bukan kelulusan daripada kerajaan Sabah atau Exco Negeri Sabah.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dihadapkan ke mahkamah susulan pembongkaran sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut menerusi Op Sohor.
Seramai 11 individu ditahan dalam operasi berkenaan, membabitkan lima pegawai kanan tentera dan enam orang awam.
"Seorang lagi akan dikemukakan laporan tatatertib kepada MINDEF (Kementerian Pertahanan) untuk diambil tindakan tatatertib atau pun 'court marshal' dan sebagainya, enam orang lagi masih dalam penelitian Timbalan Pendakwa Raya sama ada mereka boleh dituduh atau tidak," kata beliau.
SPRM sebelum ini melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Op Sohor.