
KLANG, 8 April – Peralihan kepada sumber tenaga lebih cekap dan mampan perlu dilaksanakan secara berperingkat, bukan secara drastik.
- MOSTI jalankan kajian khusus mengenai tenaga nuklear untuk menilai potensi dan risikonya sebelum pertimbangan penggunaan meluas.
- Persepsi negatif terhadap tenaga nuklear memerlukan pendidikan dan penerangan berhemah untuk meningkatkan pemahaman serta penerimaan masyarakat.
- Perdana Menteri tekankan keperluan mempercepat peralihan kepada strategi tenaga jangka panjang yang mampan, pelbagai dan kos efektif.
- Kerjasama Pure Mylk dan Tetra Pak dilihat sebagai pemangkin sistem makanan mampan, berdaya tahan dan dipacu inovasi berasaskan bio.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan tahap pemahaman serta penerimaan masyarakat.
Mengambil contoh tenaga nuklear, beliau berkata, walaupun mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor termasuk teknologi, masih terdapat persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Kita sedang menjalankan kajian, khususnya dalam aspek tenaga nuklear. Penggunaannya perlu dilaksanakan secara berperingkat dan berhemah.
“Kita tidak boleh beralih secara mendadak daripada penggunaan diesel kepada tenaga nuklear kerana tahap pemahaman masyarakat kita masih berbeza.
“Berbanding negara maju yang melihat tenaga nuklear sebagai sesuatu yang selamat, masih terdapat persepsi dalam kalangan masyarakat kita yang menganggapnya berisiko,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran Pusat Inovasi The Mylky Way serta majlis kerjasama antara syarikat minuman berasaskan tumbuhan, Pure Mylk dan syarikat pembungkusan antarabangsa, Tetra Pak di hab inovasi berkenaan.
Terdahulu pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 menegaskan keperluan Malaysia mempercepat peralihan ke arah strategi tenaga jangka panjang yang lebih mampan, pelbagai dan menjimatkan kos.
Menurut beliau, peralihan tersebut bukan sahaja penting dari sudut alam sekitar, malah kritikal susulan gangguan bekalan tenaga global.
Sementara itu, dalam majlis sama, Datuk Dr. Mohammad Yusof menyifatkan kerjasama antara Pure Mylk dan Tetra Pak sebagai langkah penting dalam membangunkan sistem makanan yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta gangguan rantaian bekalan.
“Kerjasama ini juga selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (NSTIP) 2021–2030 yang menekankan inisiatif berimpak tinggi bagi menangani keutamaan negara termasuk keselamatan makanan,” katanya.
Kolaborasi tersebut turut dilihat sebagai pemangkin kepada transformasi landskap makanan dan minuman negara ke arah ekosistem yang lebih mampan, berdaya tahan serta dipacu inovasi berasaskan bio.