fb fb fb fb fb

MOSTI giat tambah stesen pengecas EV, tangani masalah peningkatan karbon

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 28 September- Kerajaan sedang giat menambah stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong penggunaan kenderaan elektrik sekaligus dapat menangani masalah peningkatan pengeluaran karbon.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim menjelaskan, setakat ini Malaysia mempunyai kurang daripada 1,000 stesen pengecas.

Jelasnya, MOSTI menyasarkan 5,000 stesen pengecasan di seluruh negara pada tahun ini dengan penumpuan di bandar-bandar utama.

“Selain tumpuan di bandar-bandar utama, kita juga dapat permintaan daripada negeri lain bagi membolehkan kenderaan ini berjalan dari negeri ke negeri dan memerlukan kemudahan stesen pengecasan sepanjang jalan. 

“Jadi, usaha sedang dilaksanakan kerajaan dengan memanggil semua pihak berkepentingan bagi membolehkan kita melihat bagaimana untuk memperbanyakkan lagi stesen pengecasan,” katanya kepada media selepas merasmikan enam van elektrik DHL Express Malaysia hari ini.


(Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim)

Tambah beliau, kementeriannya akan turut bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyegerakan proses pembinaan infrastruktur itu di seluruh negara.

Sementara itu, DHL Express hari ini memperkenalkan enam van elektrik yang akan membuat penghantaran di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bermula awal Oktober ini.

Ia sekali gus menjadikannya sebagai syarikat penyedia logistik pertama di negara ini beralih ke EV komersial.

Syarikat tersebut juga merancang untuk menambah 55 van elektrik lagi pada tahun depan bagi menjadikan jumlah keseluruhan 61 van di seluruh negara menjelang 2023.

Media Baharu