AYER ITAM, 11 Ogos - Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an berdepan detik cemas apabila tangannya tersusuk pada besi pagar rumah di Jalan Kampung Melayu, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Devan Prakash, cedera di tangan selepas terperangkap pada pagar rumah dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, PBK II Mohamad Syafizani Mohd Rosli berkata, lima anggota bersama sebuah jentera LFRT, dua anggota EMRS dan sebuah pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati tangan mangsa tersusuk pada besi pagar rumah berhampiran jalan raya. Anggota menggunakan peralatan rescue cutter dan power unit untuk memotong besi berkenaan sebelum mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sementara menunggu ketibaan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi turut dibantu anggota polis dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.42 pagi.