KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Menteri Integrasi Afrika dan Hal Ehwal Luar Negeri Republik Senegal, Yassine Fall, memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini sebagai kunjungan balas terhadap lawatan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ke Senegal pada tahun lalu.
Wisma Puta dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan itu bertujuan menilai kemajuan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara, termasuk mengukuhkan lagi kolaborasi dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, kesihatan, industri halal serta pembangunan kapasiti.
"Sepanjang berada di Malaysia, Fall dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Luar Negeri yang turut menjadi hos majlis makan tengah hari.
"Kedua-dua menteri luar juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk perkembangan di Timur Tengah dan Afrika Barat," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Fall akan bertemu Menteri Perdagangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama.
Lawatan itu dijangka memperkukuh lagi hubungan erat sedia ada serta membuka peluang kerjasama baharu demi manfaat bersama.