fb fb fb fb fb

Majlis Perbandaran Kulim lancar 'Kulim Smart Parking'

KULIM, 28 September- Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) hari ini melancarkan sistem pembayaran tempat letak kereta baharu iaitu dikenali ‘Kulim Smart Parking’ yang menjadikan majlis perbandaran itu sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Kedah yang menggunakan aplikasi tempat letak kereta pintar.

Aplikasi ‘Kulim Smart Parking’ merupakan hasil kolaborasi antara MPKK bersama Syarikat HeiTech Padu Berhad untuk mengoperasikan Sistem Tempat Letak Kereta (TLK) Pintar yang meliputi 7,000 TLK di bawah bidang kuasa MPKK.

Setiausaha MPKK Amal Zubir berkata aplikasi itu ialah inisiatif majlis perbandaran itu bagi menambah baik serta meningkatkan taraf mutu perkhidmatannya daripada segi tadbir urus, operasi dan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan, khususnya melalui pengurusan tempat letak kereta.

“Orang awam boleh menggunakan aplikasi pintar ini untuk membuat transaksi berkaitan tempat letak kereta termasuklah pembayaran TLK dan pembayaran pas bulanan TLK.

“Kulim Smart Parking ini merupakan salah satu inisiatif ‘quick win’ yang menyokong agenda pembangunan Bandar Kulim ke arah Smart City,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Amal di sini hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden Eksekutif HeiTech Padu Berhad Abdul Halim Md Lassim.

Aplikasi Kulim Smart Parking akan tersedia di platform ‘Apple App Store’, ‘Huawei App Gallery’ dan ‘Google Play Store’ secara berperingkat bermula penghujung bulan ini dan penggunaan penuh aplikasi itu akan bermula pada awal Oktober ini.

Amal berkata situasi itu akan memudahkan lagi para pengguna dengan membolehkan transaksi dibayar menggunakan e-dompet sekali gus menjimatkan masa pengguna.

Beliau berkata inisiatif yang serba baharu daripada segi pembangunan dan infrastruktur itu juga mengajak orang ramai untuk membudayakan teknologi dalam urusan kerja dan kehidupan seharian.

Pengguna Puteri Syahirah Megat Ahmad menunjukkan aplikasi Kulim Smart Parking pada
majlis pelancaran aplikasi itu di Pusat Perniagaan Seraya berhampiran Kulim Central,
hari ini / FOTO BERNAMA

“Berdasarkan kaji selidik yang telah dijalankan bermula pada bulan Jun yang lalu, majoriti responden bersetuju bahawa bayaran letak kereta secara dalam talian menggunakan telefon pintar adalah lebih mudah berbanding bayaran secara tunai,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata pihak HeiTech Padu Berhad akan memastikan mutu perkhidmatan untuk menggerakkan sistem 'Kulim Smart Parking' dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi menyahut aspirasi dan identiti Kulim sebagai Bandar Industri Berteknologi Tinggi.

Abdul Halim berkata ia sebagai rakan strategik inisiatif ‘Kulim Smart Parking’ dan sebagai pemacu kepada usaha transformasi digital badan kerajaan. -BERNAMA

Media Baharu