fb fb fb fb fb

608 masjid di Kelantan akan memulakan program penarafan tahun hadapan

KELANTAN, 28 September- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan memulakan program penarafan atau penggredan ke atas 608 buah masjid mukim seluruh Kelantan secara berperingkat bermula tahun hadapan.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memberikan standard dan piawaian yang tinggi kepada masjid bagi memastikan ia berfungsi dan berperanan dengan lebih progresif serta efektif.


(Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz)

Pada masa sama, program berkenaan juga secara langsung akan membantu usaha MAIK dalam meningkatkan imej masjid dari segi aspek keceriaan serta kebersihan fizikal bangunan masjid.

"Mereka harus bersaing, untuk menaikkan taraf. Jadi dengan cara yang sedemikian kita berharap kualiti di setiap masjid di negeri Kelantan ini akan di pertingkatkan lagi, kriteria itu salah satunya semestinya ialah dari segi pengurusan kewangan yang kedua mungkin dari segi kebersihan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Pengurusan Kewangan Dan Integriti Majlis Negeri, Bandar dan Jajahan Negeri Kelantan dan Penyerahan Zakat Bank Rakyat di Kota Bharu.

Selain itu, jelas Tengku Tan Sri Mohamad Rizam, pihak pengurusan MAIK juga dalam proses menyediakan garis panduan pengurusan kewangan masjid yang akan menjadi rujukan bagi pihak pengurusan masjid mengamalkan tatacara pengurusan kewangan yang betul serta berkesan.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Seramai 72 imam tua, imam muda dan ahli jawatankuasa masjid menerima sijil masing-masing selepas mengikuti Kursus Pengurusan Kewangan yang diadakan secara kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan sejak 2018.

Terdahulu, turut berlangsung penyampaian replika cek zakat berjumlah lebih RM600,000 daripada Bank Rakyat yang diserahkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria.

Media Baharu