KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Seramai 50 orang peserta orang kurang upaya (OKU) menyertai Program Latihan MADANI yang bertujuan memperkasa kemahiran penulisan buku secara profesional kepada golongan tersebut.
Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pengarah Eksekutif Persatuan Membantu Orang Kelainan Upaya Malaysia, Silatul Rahim Dahman berkata, program itu dirangka untuk memberi peluang kepada OKU mempelajari kaedah penulisan yang betul agar mampu menghasilkan karya berkualiti seterusnya diterbitkan secara komersial.
"Penulisan buku sesuai untuk OKU kerana mereka boleh menulis dari rumah tanpa perlu berulang-alik ke tempat kerja. Malah, ramai OKU mempunyai daya imaginasi tinggi yang boleh diterjemahkan menjadi karya bermanfaat kepada pembaca," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkaspauri Kota Media.
Jelas beliau, penyertaan program melibatkan pelbagai kategori OKU termasuk cacat penglihatan, fizikal serta individu dengan masalah mild mental disability.
Melihat kepada sambutan menggalakkan, beliau optimis program seumpama itu akan diperluas pada masa hadapan, selain merancang kursus lain seperti menjahit, keusahawanan dan kepimpinan bagi memperkasa OKU dalam pelbagai bidang.
"Kita mahu melihat OKU terlibat dalam proses pembentukan dasar, pentadbiran, malah menjadi pemimpin. Golongan ini harus dilihat sebagai aset negara, bukannya beban," tegasnya.
Program itu turut diharap menjadi projek perintis untuk melahirkan kumpulan penulis profesional OKU di Malaysia, sekali gus mengangkat suara mereka ke peringkat arus perdana.