KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menggesa semua pihak memberikan ruang sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terperinci dan telus berhubung kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Setiausaha Agung Kongres, Mohd Azizee Hassan berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan kes tersebut dan menasihati semua pihak khususnya netizen agar berhenti mencetuskan pelbagai teori atau menyebarkan spekulasi tidak berasas melalui media sosial.
“Tindakan itu bukan sahaja mengganggu proses siasatan, malah berpotensi mencemarkan imej serta maruah mangsa dan keluarganya,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
KONGRES turut menyatakan sokongan terhadap usaha menegakkan keadilan kepada keluarga mangsa dan berharap proses itu ditangani sebaik mungkin tanpa menimbulkan kekeliruan atau polemik.
Pihaknya juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
"KONGRES menggesa siasatan yang adil dan saksama buat keluarga mangsa, dan pada masa sama menyeru semua pihak menangani isu ini dengan waras dan rasional tanpa dipenuhi sentimen atau emosi.
"Ini bagi memastikan emosi guru, murid dan warga sekolah berada dalam keadaan baik dan sejahtera," tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, KONGRES bersama Kementerian Pendidikan (KPM) menolak sebarang bentuk perlakuan buli di sekolah dan tidak akan berkompromi terhadap isu tersebut.
“Kami yakin negara ini adalah negara hukum yang berdiri atas prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang,” katanya.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.
Polis telah merakam keterangan kira-kira 60 saksi.
Pada 10 Ogos, kubur mangsa digali semula bagi tujuan siasatan sebelum proses bedah siasat dijalankan, dan laporan akan diserahkan bersama kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.