KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Kementerian Digital komited membangunkan struktur menyeluruh merentas semua kementerian bagi memastikan pelan dan blueprint berkaitan kecerdasan buatan (AI) dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, kementerian itu berbeza daripada kementerian lain kerana memantau serta mengintegrasikan penggunaan teknologi AI dan data di semua sektor.
"Apa yang disebut tadi memang tepat tempat dan juga kita ada plan blueprint, hala tuju dan sebagainya. Tapi soal dia, adakah kita wujud struktur yang membolehkan kita melihat pelan-pelan ini semua berjaya?
"Itu sebab kita mewujudkan Kementerian Digital… bayangkan kalau kita ada keadaan di mana kita melihat data merentas seluruh kerajaan, seluruh masyarakat, seluruh industri dan sebagainya.
"Data ini kita boleh menggunakan silang data untuk kita memperkasakan industri-industri tertentu. Itu yang kita hendak wujudkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How.
Usaha itu turut disokong melalui Pejabat AI Kebangsaan, penubuhan Gulf Tech, Suruhanjaya Data serta penganjuran Sidang Kemuncak AI ASEAN yang memberi peluang negara-negara serantau berkongsi pengalaman dan menilai kesediaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri.
Menyentuh sumbangan AI terhadap ekonomi negara, Gobind berkata pada 2023, teknologi digital menyumbang 23.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kerajaan menyasarkan peningkatan kepada 25.5 peratus menjelang akhir tahun ini.
"Kalau kita berjaya melaksanakan itu, sudah tentu semua rakyat akan menikmati manfaat daripada apa yang kita sebut. Pendekatan yang lebih luas itu dan di situlah kita akan melihat kesan terhadap individu-individu dari sudut peluang pekerjaan.
"Kita bukan hanya bercakap tentang perkara yang perlu dilakukan tetapi kita laksanakan. Saya harap bahawa bergerak ke depan, khususnya tahun depan kita akan lihat apabila Gulf Tech dan sebagainya telah ditubuhkan, pembelajarannya akan melihat kesan daripada itu semua," ujarnya lagi.
Malaysia berpotensi menjadi kuasa serantau dalam ekonomi digital memandangkan ASEAN mempunyai pasaran lebih besar sekitar 700 juta penduduk berbanding 34 juta rakyat negara ini.