fb fb fb fb fb

MOSTI bantu NADMA analisis gerakan tanah di Ampang

(Lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2 Ampang/BERNAMA)

AMPANG JAYA, 12 Mac - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menganalisis pergerakan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, menggunakan teknologi penderiaan jauh atau 'remote sensing' angkasa.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata analisis berkenaan dibuat menggunakan teknologi yang dibangunkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

"Terdapat tujuh jenis maklumat diperlukan berkaitan 'remote sensing' (penderiaan jauh) dan imej satelit yang boleh digunakan dalam mengesan sebarang pergerakan tanah di cerun bukit.

"Sekiranya ada maklumat awal, kita boleh membantu dari segi menangani risiko berkaitan kejadian seperti ini,"kata Ahmad Amzad selepas meninjau lokasi kejadian.

Beliau berkata, maklumat sedemikian dapat membantu kerajaan dan NADMA dalam merancang operasi untuk mencegah risiko kejadian seumpama itu berulang.

Terdahulu, beliau turun padang melawat lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini, yang mengakibatkan empat maut dan seorang cedera pada Khamis.

(Keadaan di sekitar kawasan perumahan selepas kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang/BERNAMA)

Ahmad Amzad berkata, sebelum ini, sudah berlaku kejadian sama di Kemensah dan MOSTI pernah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi 'System E-Slope' yang membantu berkaitan pembangunan cerun.

"Ini adalah kerjasama MYSA dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sudah kita laksanakan sebelum ini dan ia adalah skop di bawah MOSTI," katanya.

Katanya, kunjungan beliau ke lokasi hari ini adalah bagi memastikan pihaknya tidak terlepas pandang dari segi apa-apa maklumat.

Pada Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

 

Media Baharu