PUTRAJAYA, 12 Jun - Monsun Barat Daya (MBD) yang sedang melanda negara hingga September ini dijangka tidak membawa kesan ekstrem.
Jelas Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah, ia susulan status semasa fenomena El Niño Southern Oscillation (ENSO) yang kini berada dalam fasa neutral.
Bagaimanapun, persiapan rapi bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah dilaksana.
Ini termasuk penyelarasan penggunaan aset logistik serta pemantauan sumber air di kawasan berisiko.
"JBPM telah bersiap sedia dengan persiapan logistik dan sumber manusia untuk digerakkan menghadapi MBD ini. Pada masa sama, kita juga telah siap siaga bersama dengan Jabatan Bomba dan Jabatan Alam Sekitar. Koordinasi telah digerakkan supaya lebih selaras," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat bersama media mengenai persediaan menghadapi MBD di Putrajaya.
Menyentuh mengenai kebakaran terbuka, JBPM telah menangani 3,791 kes dari Januari hingga Mei lalu.
547 daripada kes tersebut direkodkan di Kedah, Johor (468), Terengganu (384), Selangor (368) dan Perak 357 kes.