KUALA LUMPUR, 13 Mei - Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 10 Mei dan berterusan sehingga September ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata sepanjang tempoh tersebut taburan hujan adalah rendah di kebanyakan tempat.
Menurut MetMalaysia, keadaan cuaca kering ini juga berpotensi menyebabkan berlakunya fenomena jerebu, sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka dan digalakkan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh Monsun Barat Daya ini,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
MetMalaysia akan terus memantau perkembangan cuaca dan mengeluarkan amaran dari semasa ke semasa.