IPOH, 13 Mei - Lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut dalam kemalangan membabitkan trak dinaiki mereka dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus, Sungai Lampam, Teluk Intan, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani binti Saidon, trak FRU berkenaan membawa 15 anggota termasuk pemandu, sebelum bertembung dengan lori tersebut.
Beliau berkata, kemalangan menyebabkan sebahagian besar mangsa tersepit dan operasi menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Perak menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 8.54 pagi.
Mangsa yang berjaya dikeluarkan telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut.
Setakat ini, identiti mangsa yang terkorban masih belum didedahkan.
Manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.