fb fb fb fb fb

Mohd Na'im sokong tindakan TH kekal kos haji

Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar

GOMBAK, 16 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar menyokong tindakan Tabung Haji (TH) dalam mengekalkan kos haji seperti tahun lalu.

Beliau turut memuji usaha berterusan TH dalam meneruskan bantuan kewangan untuk bakal jemaah haji.

"Cuma saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pengurusan Tabung Haji yang telah mengambil kira semua perkara dan kita kekalkan kos haji seperti tahun lepas.

"Ini bukan satu keputusan yang mudah, kita telah mengambil kira semua perkara. Kalau kita tengok kos haji ni sentiasa meningkat, tetapi kita, TH berjaya kekalkan kos yang sama," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Siswa+ 2024 dan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025 di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini.

Seramai 400 orang mahasiswa dari institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih di seluruh negara menerima manfaat ini dengan jumlah keseluruhan sumbangan berjumlah RM1.35 juta.

Dalam ada itu beliau menjelaskan bagi tahun 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 kali pertama meningkat 20 peratus kepada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada tahun 2024.

Manakala bagi kumpulan M40, kadar bayaran baharu ialah RM23,500 berbanding RM19,152 pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, kadar bayaran bagi kumpulan T20 kekal pada RM33,300, sejajar dengan kos haji muassasah yang ditetapkan pada 2024.

Beliau juga berharap bakal Jemaah Haji negara ini dapat membuat persiapan sebaiknya sebelum memulakan ibadah yang bakal dijalani beberapa bulan sahaja lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI