LANGKAWI, 16 Disember- Malaysia mencapai sasaran dengan ketibaan pelancong dari India seramai 1,009,114 dari Januari hingga November tahun ini sekali gus membuktikan peningkatan populariti Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelancong negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, sehingga suku tahun kedua tahun ini, seramai 124,203 pelancong dari India telah tiba di Langkawi berbanding 132,000 pelancong untuk tahun 2023.
Kenaikan jumlah pelancong ke dalam negara didorong pengenalan visa kemasukan percuma pada Disember 2023 oleh kerajaan serta beberapa penerbangan terus berjadual ke pulau peranginan berkenaan.
"Saya juga dimaklumkan oleh Tourism Malaysia sehingga November data nasional India ke Malaysia mencapai kira-kira sejuta pelancong.
"Jadi kita nampak Langkawi menyumbang lebih 10 peratus pelancong India ke Malaysia. Ia merupakan satu angka yang baik," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyambut penerbangan pertama terus dari Bengaluru, India ke Langkawi melalui penerbangan IndiGo Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) di sini hari ini.
Turut hadir pada acara berkenaan ialah wakil Tourism Malaysia, Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan agensi-agensi kerajaan tempatan dan persekutuan.
Penerbangan pertama dari Bengaluru itu menggunakan pesawat Airbus A320 dengan kapasiti 186 penumpang.
Difahamkan syarikat penerbangan IndiGo Airlines akan membuat penerbangan tujuh kali seminggu bermula hari ini.
Penerbangan itu merupakan penerbangan terus ketiga ke Langkawi selepas Scoot Air dan FlyDubai yang menawarkan penerbangan terus berjadual ke pulau berkenaan.