PUTRAJAYA, 16 Disember- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka Pelan Pendidikan Tinggi (PPTM 2025-2035) bagi tempoh sedekad akan datang bagi menggantikan pelan sedia ada yang berakhir hujung tahun depan.
Ke arah itu, sesi libat urus giat dilaksanakan bersama pelbagai pihak dalam merangka hala tuju pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelan tersebut akan diperincikan oleh sebuah jawatankuasa dengan mengambil kira pandangan dan pengalaman pakar-pakar tempatan.
"...dan hal ini sedang diperincikan oleh satu jawatankuasa melibatkan pelbagai pihak. Kali ini kita rangka berdasarkan kepada pengalaman pakar-pakar dalam Malaysia. Kita sudah tidak mengambil pendekatan dengan konsultan-konsultan luar negara untuk merangka sistem pendidikan negara.
"Kita menggunakan tenaga-tenaga pakar yang sama hebat dengan pakar-pakar yang ada di luar negara. Jadi ini merupakan satu perubahan besar dalam sistem pendidikan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Pembentangan Kad Laporan Pencapaian KPT di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.
Dalam pada itu Malaysia juga bercadang untuk menjadi pusat penyelidikan Universiti ASEAN sempena dengan kepengerusian persidangan ASEAN 2025 pada 1 Januari depan.
Zambry berkata cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada negara anggota kesatuan Asia Tenggara itu.
"Kita juga sedang bercadang untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penyelidikan universiti-universiti ASEAN dengan Malaysia menjadi tuan rumah ASEAN nanti.
"Kita harap idea Malaysia yang akan dikemukakan itu akan diterima anggota-anggota negara ASEAN," katanya.