KUALA LUMPUR, 16 Disember- Program Pemindahan Ilmu Kaedah Bioteknologi Pengkomposan Melalui Pendayaan Komuniti yang dianjurkan Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan usaha dalam menyelesaikan masalah lalat di kawasan perumahan.
Program berkenaan dianjurkan menerusi Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) bersama kumpulan pelajar Khidmat Pembelajaran dalam Bioteknologi itu adalah sinergi antara ilmu pengetahuan, teknologi dan keperluan masyarakat selain menerapkan inovasi teknologi hijau.
Ketua Program, Prof. Madya Dr. Mohd Zulkhairi dan Ketua Laboratori Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan Mohd Yusoff berkata, Projek Pendayaan Komuniti @UniMADANI 2024 itu akan membuka ruang untuk menjana pendapatan dan membuka peluang perniagaan.
"Kami menumpukan kepada isu yang sering terlepas pandang iaitu pengurusan sisa organik dan aplikasinya dalam bioteknologi pengkomposan demi membuktikan bahawa peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu serta inovasi.
"Kadang kala sisa organik sering dianggap tidak bernilai, tetapi melalui kaedah yang betul, boleh bertukar menjadi sumber yang amat berharga," katanya.
Menurut beliau, projek yang dirasmikan Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat Datuk Borhan Aman Shah itu memberi peluang kepada komuniti untuk meneroka potensi melalui teknik moden disampaikan secara amali.
Sementara itu pelajar Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian, Siti Nurhaidah Mohd Rofi, 21, berkata, pemilihan baja ialah baja tinja ayam berikutan terdapat banyak sumber nitrogen.
"Penggunaan tinja ayam ini membantu dalam mempercepatkan proses penguraian sisa organik kerana kandungan nutrien yang tinggi," katanya.
Suri rumah Nor Shahirah Azemi, 31 berpendapat program itu membantu komuniti dalam menyelesaikan permasalahan sisa makanan dan tinja ayam.
"Penggunaan sisa organik sebagai bahan kompos dapat mengurangkan lalat di kawasan perumahan kami kerana lalat yang banyak boleh membawa penyakit.
"Pada pandangan saya, program ini juga dapat menyatukan komuniti dengan pelajar-pelajar dalam menyelesaikan masalah setempat dengan cara perkongsian ilmu," ujarnya.