KUALA LUMPUR, 16 Disember - Trend buli yang kerap berlaku dalam kalangan murid termasuk buli fizikal, buli verbal, serta buli siber, berpunca daripada pengaruh rakan sebaya, tekanan sosial serta kurang kawalan emosi dalam kalangan mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, KPM memantau salah laku buli dalam kalangan murid melalui perekodan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
Katanya, semua kes buli dilaporkan kepada Pengetua dan Guru Besar (PGB) untuk tindakan lanjut.
Manakala pihak Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) akan memberi intervensi untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid sementara siasatan dijalankan.
"Murid yang didapati terlibat dalam salah laku buli sebagai kesalahan disiplin boleh dikenakan tindakan disiplin mengikut peraturan yang berkuat kuasa bawah Akta Pendidikan 1996. PGB hendaklah mengambil kira rekod disiplin murid sebelum ini dalam membuat keputusan mengenai tindakan disiplin yang selanjutnya.
"Pada masa sama, KPM juga melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS), National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk membantu KPM mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat melalui program-program sekolah selamat," kata Wong Kah Woh, di Parlimen.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, seramai 2,542 murid tingkatan empat, tingkatan enam, Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia dan pelajar kolej matrikulasi menyertai program rintis bagi mengekang kegiatan buli dalam kalangan pelajar.
Dikenali sebagai Program Pembinaan Karakter Generasi MADANI (GenMADANI), ia antara usaha Kementerian Pendidikan (KPM) secara konsisten.
Katanya, ia di samping aktiviti pencegahan, penguatkuasaan peraturan dan langkah intervensi oleh pengetua dan guru besar (PGB).
"Sebahagian besar modul yang diguna pakai dalam pelaksanaan program ini merangkumi domain patriotisme dan kenegaraan dengan penerapan unsur disiplin diri, pengurusan masa, kecergasan fizikal, kognitif serta amalan kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.
"Melalui projek rintis ini, pada tahun hadapan KPM akan memperluaskan pelaksanaan program selari dengan Konsep Generasi MADANI dengan menambahbaik modul sedia ada," katanya.
Dewan juga diberitahu bahawa KPM menggunakan empat aspek utama untuk menangani gejala buli iaitu penyedaran, pelaporan, pemantauan, dan penghukuman.
Berdasarkan data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), seramai 5,891 murid didapati terlibat buli pada tahun 2023, manakala hingga 31 Oktober 2024 jumlah murid yang direkodkan adalah seramai 5,703 murid.