fb fb fb fb fb

Thaksin penasihat tidak rasmi dalam kepengerusian ASEAN 2025

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 16 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025 pada Januari tahun depan.

Cadangan perkara itu telah dipersetujui Thailand selain disokong pengalaman dan kebijaksanaan yang diperlukan dari negarawan seperti Thaksin.

Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Thaksin akan dibantu pasukan terdiri anggota pelbagai negara ASEAN.

"Terima kasih kerana mempersetujui pelantikan ini. Kami memerlukan kelebihan kepakaran daripada negarawan seperti Thaksin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra sempena lawatan rasminya ke Malaysia di sini.

Sebelum ini Thaksin menjawat jawatan Perdana Menteri Thailand dari 2001 hingga 2006, namun digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.

Kemudian beliau hidup dalam buangan selama 15 tahun sebelum kembali ke Thailand pada Ogos 2023.

Sejurus kembali, dia dipenjarakan selama lapan tahun atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa namun hukumannya dikurangkan kepada satu tahun oleh Raja Thai Maha Vajiralongkorn.

Bekas pemimpin Thailand itu dibebaskan secara parol pada 18 Februari lepas.

Dalam pada itu Malaysia komited dalam meneruskan usaha dialog untuk mencapai persefahaman berhubung isu berbangkit di wilayah selatan Thailand.

Perdana Menteri berkata, keamanan di wilayah berkenaan dilihat akan memberi impak ekonomi kepada kedua-dua negara.

"Kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan proses dialog dengan wilayah selatan Thailand menjadi kenyataan dan kemudian menyelesaikannya melalui rancangan komprehensif bersama.

"Ia ke arah keamanan dan seperti yang dipersetujui, seterusnya pembangunan, supaya mereka mendapat manfaat, tetapi yang penting, pastikan aman dahulu," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI