fb fb fb fb fb

MOF teliti secara serius teguran yang dilaporkan LKAN 2022

PUTRAJAYA, 23 November- Kementerian Kewangan (MOF) akan meneliti secara serius setiap teguran yang dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 terutama melibatkan soal perbelanjaan, ketirisan atau tidak menepati syarat serta peraturan dalam peruntukan kewangan kementerian.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tindakan tersebut bagi memastikan supaya semua kesalahan dan ketirisan yang berlaku tidak akan berulang.

"Pada Kementerian Kewangan, salah satu kaedah untuk kita cekapkan pengurusan kewangan ialah memastikan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 itu diperbaiki dari semasa ke semasa oleh pihak yang ditegur oleh Ketua Audit Negara.

"Kita tahu bahawa antara kehilangan dan ketirisan hasil adalah kerana masalah integriti. Jadi saya berharap dengan keluarnya laporan itu, saban tahun akan diperbaiki teguran dan seterusnya akan mengurangkan kebocoran hasil kerajaan", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti KWSP bersama Kementerian Kewangan 2023 di Putrajaya.

Sebelum ini, LKAN 2022 mendedahkan sebanyak RM681.71 juta kehilangan atau kerugian wang awam membabitkan program kerajaan.

Ia termasuklah kegagalan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mengutip hasil pajakan tanah dua projek, iaitu Projek Pembangunan Hotel St Regis dan pajakan tanah untuk Projek Perkampungan Tok Senik.

ROSLINA BINTI DIN