fb fb fb fb fb

MISB, OFS didaftar Agensi Pelaporan Kredit

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 November- Kementerian Kewangan (MOF) telah membuat keputusan untuk mendaftarkan MYDATA Informatica Sdn Bhd (MISB) dan One Future Solutions Sdn Bhd (OFS) sebagai Agensi Pelaporan Kredit (APK) baharu di bawah seksyen 14 Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 [Akta 710], semalam.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), pendaftaran baharu itu menjadikan bilangan APK yang berdaftar meningkat, daripada lapan kepada sepuluh.

"Kedua-dua syarikat itu kini menyertai industri pelaporan kredit, yang turut dianggotai oleh syarikat-syarikat seperti CTOS Data Systems Sdn Bhd, Experian Information Services (Malaysia) Sdn Bhd, dan Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd.

"Sebagai entiti baharu dalam industri ini, MISB dan OFS dijangka melaksanakan pelbagai inisiatif penting dalam masa terdekat, yang sejajar dengan matlamat memperkukuhkan ekosistem dan industri pelaporan kredit negara, serta memberi manfaat kepada pengguna dan institusi kewangan," menurut kenyataan itu.

MOF juga yakin bahawa kedua-dua syarikat berkenaan akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan profesionalisme dan mematuhi segala peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta 710.

Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan itu untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan memenuhi standard yang tinggi dan memberi nilai tambah kepada sektor kewangan negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM