SHAH ALAM, 27 November- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perjumpaan dengan kesatuan jururawat esok untuk mengumpul maklum balas dan menangani kebimbangan golongan itu mengenai peningkatan waktu bekerja untuk profesion tersebut daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu, berkuat kuasa 1 Disember depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perjumpaan itu akan melibatkan lima kesatuan jururawat yang telah menyatakan kesediaan untuk membincangkan dan berkongsi pandangan mereka mengenai pelaksanaan arahan baru dibawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Beliau berkata kesatuan yang terlibat adalah Kesatuan Jururawat Malaya, Kesatuan Bidan-bidan dan Jururawat Masyarakat Kerajaan Semenanjung Malaysia, Kesatuan Perkhidmatan Kesihatan Sabah, Kesatuan Perkhidmatan Kesihatan Sarawak dan Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Kami mahu pastikan dari sudut arahan dan sebagainya ini akan kita lakukan setelah ia benar-benar dapat memastikan kepentingan, kebajikan dan kemaslahatan jururawat dapat kita bela dan kita jamin.
"Untuk sampai ke situ, kita perlu mengadakan beberapa sesi libat urus ini dan ini kita akan lakukan dalam waktu segera", katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubatan Tradisional dan Komplementari ke-10 (10th INTRACOM) 2024.