fb fb fb fb fb

Pengamal media berwibawa RTM, Khairul Azli meninggal dunia - Fahmi

Allahyarham Khairul Azli, 45, ditemui terbaring di kediamannya pada awal pagi Isnin lepas

KUALA LUMPUR, 27 November- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merakamkan rasa dukacita atas pemergian seorang pengamal media Radio Televisyen Malaysia (RTM), Allahyarham Khairul Azli Rahim, 45, yang meninggal dunia petang ini.

Fahmi turut melahirkan rasa sedih atas pemergian allahyarham yang pernah bertugas di Bilik Berita TV RTM sebagai wartawan dan penyunting berita.

"Saya berdukacita menerima satu lagi berita kehilangan seorang pengamal media yang amat berdedikasi dalam melaksanakan setiap tugasan," katanya menerusi Facebook beliau.

Allahyarham Khairul Azli yang juga Ketua Meja Perhubungan ASEAN di Seksyen Perhubungan Antarabangsa, Bahagian Perhubungan Strategik RTM dikenali sebagai seorang yang sangat disenangi rakan sekerja. "Beliau sangat disenangi oleh rakan-rakan sekerja dan telah berkhidmat dengan cemerlang," tambah Fahmi.

Sebagai tanda penghormatan, beliau menutup kenyataan dengan doa kepada keluarga dan sahabat allahyarham.

"Saya doakan agar seluruh keluarga serta sahabat handai allahyarham dikurniakan kesabaran dan ketabahan berdepan kehilangan ini. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah," tambah beliau.

Terdahulu, Allahyarham Khairul Azli ditemui terbaring di kediamannya pada awal pagi Isnin lepas sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.16 petang ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kedah dan disembahyangkan di Masjid Alor Pak Ngah, Alor Setar sekitar pukul 10.00 pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tualang.

Khairul Azli yang pernah berkhidmat lebih 18 tahun di Bilik Berita RTM sebagai wartawan, penerbit dan penyunting berita sebelum bertukar ke Seksyen Perhubungan Antarabangsa sebagai Ketua Meja Perhubungan ASEAN, dikenali sebagai individu berdedikasi, komited, serta disenangi sahabat handai dan rakan sepejabat.

SITI AISHAH MD ISA