KUALA LUMPUR, 26 November – Kerajaan MADANI komited memperkukuh pembangunan kemudahan rekreasi awam, termasuk menyokong pertumbuhan pesat industri kenderaan rekreasi (RV) yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perkembangan industri RV membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada pengusaha tempatan selain menarik pelabur asing untuk membangunkan kilang pembuatan RV di Malaysia.
"Kenderaan rekreasi ini semakin popular dalam kalangan pengguna dan pemilik kenderaan di Malaysia.
"Perkembangan positif ini membuka peluang ekonomi melalui penglibatan pengusaha tempatan serta kemasukan pelabur asing yang membangunkan kilang pembuatan RV di Malaysia,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas usaha memperkemas pembangunan tapak RV, beliau berkata KPKT telah menyediakan Garis Panduan Perancangan Taman Kenderaan Rekreasi sebagai rujukan utama semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.
"Garis panduan ini memastikan pembangunan tapak RV mengambil kira kepentingan pengguna, pengusaha, pemaju dan pihak berkuasa tempatan dari peringkat perancangan hingga operasi. Ia penting untuk menjamin keselamatan, keselesaan dan standard kemudahan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang memperluas tapak uji laksana kemudahan RV dengan beberapa projek 'Proof of Concept' (bukti konsep) sedang dijalankan di beberapa lokasi seluruh negara.
“Kita sudah memulakan beberapa projek proof of concept (bukti konsep) termasuk di Rompin, Bagan Lalang, Port Dickson, Seremban dan Kemaman.
"Setiap lokasi ini diuji bagi memastikan keberkesanan garis panduan sebelum diperluas ke kawasan lain,” katanya.
Mengulas mengenai peruntukan, Aiman Athirah berkata tiada peruntukan khusus untuk pembangunan kemudahan RV dalam Belanjawan 2026. Namun PBT boleh memohon melalui Bantuan Prasarana Am 1 (BP1) sekiranya terdapat keperluan segera.
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong pembangunan fasiliti yang dapat mengukuhkan segmen pelancongan berasaskan RV dan memastikan standard keselamatan dipenuhi.
"Walaupun tiada peruntukan khusus diumumkan, PBT boleh memohon melalui BP1 jika terdapat keperluan. Kementerian sentiasa menyokong pembangunan yang mampu mengukuhkan sektor pelancongan RV negara,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, beliau menjelaskan bahawa pemilihan lokasi tapak RV tertakluk kepada prosedur penilaian ketat yang mengambil kira kriteria penting seperti akses keluar masuk yang selamat serta risiko keselamatan kawasan.
“Antara kriteria utama ialah akses dan jalan masuk.Kebolehcapaian sangat penting supaya pengguna RV dapat masuk dan keluar dengan selamat. Selain itu, kita juga menilai kawasan berisiko walaupun ada permintaan, kawasan yang berisiko tinggi tidak akan dibenarkan,” katanya.
Aiman Athirah turut menekankan bahawa pembangunan industri RV memerlukan kerjasama rentas kementerian bagi merealisasikan usaha tersebut.
"Untuk memperluaskan prospek pelancongan RV, ia bukan hanya terletak pada KPKT. Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terlibat dalam aspek pelesenan, manakala Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melihat potensi industri pembuatan RV. Kerjasama seluruh kerajaan diperlukan untuk mengangkat potensi industri ini,” jelasnya.