IPOH, 26 November – Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negeri Perak mencapai 80.9 peratus setakat September 2025, menurut Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi.
Beliau berkata, pembangunan rangkaian itu dilaksanakan secara berperingkat melalui peluasan tapak pemancar di kawasan strategik dan berimpak tinggi.
Jelas beliau, kerajaan negeri juga memberi keutamaan kepada peluasan liputan 5G di kawasan luar bandar sebagai sokongan kepada pembangunan ekonomi digital rakyat.
Namun, katanya, beberapa kekangan teknikal dan logistik perlu ditangani, termasuk kepadatan penduduk yang rendah, ketiadaan infrastruktur asas dan bekalan elektrik yang tidak stabil di sesetengah kawasan.
“Walau bagaimanapun, peluasan rangkaian 5G akan terus dilaksanakan dengan mengambil kira kesediaan tapak, keperluan setempat serta keutamaan kawasan berimpak tinggi seperti zon perindustrian, institusi pendidikan, kawasan tumpuan awam dan pusat pertumbuhan ekonomi luar bandar.
"Pendekatan ini memastikan perbelanjaan awam dioptimumkan dan manfaat teknologi baharu dapat dinikmati secara inklusif", katanya demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Manong, Berhanudin Ahmad pada Persidangan Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Menjawab soalan tambahan mengenai usaha kerajaan membentuk masyarakat digital, beliau memaklumkan pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Perak 2030.
Antaranya memastikan akses infrastruktur digital berkualiti serta memperkasa masyarakat melalui pendidikan dan latihan kemahiran digital.