KUALA LUMPUR, 26 November - Malaysia mengekalkan pendekatan neutral dalam akses kepada cip kecerdasan buatan (AI), meskipun persaingan teknologi antara Amerika Syarikat dan China semakin meningkat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata syarikat tempatan bebas memilih penggunaan cip dari mana-mana negara, termasuk Nvidia dari Amerika Syarikat atau Huawei dari China.
"Dan kita melalui syarikat-syarikat yang ada di sini, syarikat tempatan contohnya, kita mengamalkan pendekatan yang neutral dan inklusif dan di sini syarikat yang menggunakan chip tersebut punya pilihan.
"Dia boleh pilih sama ada nak menggunakan chip Amerika Syarikat atau mereka nak menggunakan chip China untuk mengambil contohnya. Jadi kita nak mengukuhkan akses kepada chip ini, kerana kita seperti semua tadi adalah ekonomi yang terbuka, jadi kita nak dua-dua syarikat daripada semua negara datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kubang Pasu di Dewan Rakyat.
Langkah itu penting sekali gus membuktikan Malaysia sebagai ekonomi terbuka dan destinasi pelaburan kompetitif.
Kerajaan kini sedang memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan dalam rantaian nilai industri semikonduktor, pembungkusan canggih, serta memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Termasuk memperluaskan kerjasama industri dengan universiti dalam melahirkan lebih ramai tenaga mahir terutama dalam bidang kejuruteraan .
"Jurutera memang ada, tetapi pakar dalam bidang ini masih kurang. Itu bukan sahaja cabaran yang dihadapi Malaysia, malah cabaran seluruh dunia berikutan peningkatan permintaan terhadap teknologi AI.
Pada masa sama, kita juga sedang berunding dengan Kementerian Pendidikan Tinggi agar pelajar asing dalam bidang kejuruteraan yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini diberikan peluang bekerja di Malaysia.
"Namun, perkara ini masih dalam perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi," katanya.