fb fb fb fb fb

KPWKM perkukuh sistem bantuan lebih efisien

Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 26 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang membangunkan sistem penyaluran bantuan kebajikan yang baharu dan lebih efisien bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada golongan sasar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha itu dilakukan bagi menangani peratusan kecil penerima yang ketika ini masih menerima bantuan melebihi tarikh asal yang disasarkan.

"Bagi bantuan kewangan kebajikan bulanan seperti Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas dan sebagainya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyasarkan untuk penyalurannya selesai dibuat tidak lewat dari 10 hari bulan setiap bulan.

"JKM kini sedang membangunkan sistem yang baharu. Sistem ini disasarkan untuk mula beroperasi menjelang awal tahun 2027," ujar beliau.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berhubung langkah kementerian untuk memastikan bantuan kebajikan disalurkan tepat pada waktu kepada penerima serta program khusus membantu keluarga miskin dan ibu tunggal di Dewan Rakyat.
 
Mengulas lanjut, bantuan kerajaan kepada golongan miskin bandar tidak hanya tertumpu bantuan kewangan semata-mata tetapi juga pelaksanaan pelbagai program seperti 'Two Years Exit Program' serta Program Pemerkasaan dan Transformasi Minda Penerima Bantuan JKM.

Bagi ibu tunggal pula, Jabatan Pembangunan Wanita giat melaksanakan pelbagai program bagi menggalakkan lebih ramai ibu tunggal terlibat dalam bidang keusahawanan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI