KUALA LUMPUR, 26 November -Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan proses penilaian komprehensif terhadap semua aset mesin pengimbas yang digunakan semasa pemeriksaan kastam di semua pintu masuk negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah tersebut dilakukan berikutan sebahagian daripada 160 mesin pengimbas ketika ini telah mencapai had usia tertentu.
Jelas beliau, proses penilaian tersebut bukan sahaja mengambil kira aspek teknikal, juga kos penyelenggaraan serta perkembangan teknologi masa kini.
"Dalam proses ini teknologi terkini di peringkat antarabangsa turut diambil kira sebagai contoh syarikat dari Amerika Syarikat telah membangunkan pengimbas tenaga tinggi untuk kontena besar dan dari Jerman pula sistem CT Scan yang berevolusi tinggi bagi bagasi penumpang. Manakala, China mesin pengimbas mudah alih.
"Kajian menyeluruh dari negara-negara ini akan membantu kerajaan dalam memastikan perolehan mesin ini benar-benar beri nilai terbaik kepada negara," katanya ketika menjawab soalan dikemuka Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq bin Johari berhubung penambahbaikan kawalan kastam di semua lapangan terbang serta pemantauan berkala dalam memastikan kecekapan pegawai pemeriksa bagi memastikan isu penyeludupan dapat ditangkis dengan rapi.
Selain aset dan peralatan, KDN menerusi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) turut memberi fokus penambahbaikan terhadap tiga bidang iaitu penggunaan teknologi pintar dan automasi, pelaksanaan pengisytiharan secara elektronik melalui aplikasi mudah alih dan penyelarasan prosedur amalan terbaik.