TANAH MERAH, 26 November - Seorang wanita warga emas ditemukan lemas manakala anaknya terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras di Kampung Batu 5, Jalan Jedok, di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zulkifli Osman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.13 pagi itu, kereta berkenaan dilaporkan dihanyutkan sebelum tersangkut pada pembetung di lokasi tersebut.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah bergegas ke tempat kejadian dan tiba tiga minit kemudian.
Mangsa pertama, Shamila Suzie, 48 tahun berjaya diselamatkan, manakala ibunya, Siti Gayah Zakaria, 70 dilaporkan hilang.
"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sebelum mangsa ditemukan oleh anggota bomba pada pukul 7.49 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri, tidak jauh dari lokasi dilaporkan hilang.
"Mangsa dibawa ke tempat selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," kata Mohd Zulkifli ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Mohd Zulkifli berkata dua beranak itu dipercayai dalam perjalanan dari Tanah Merah ke Jeli sebelum kejadian berlaku.
Hujan lebat malam tadi menyebabkan laluan berkenaan dinaiki air sedalam satu meter selepas air dari parit berhampiran melimpah ke jalan.
Mangsa dipercayai cuba meredah kawasan tersebut namun dihanyutkan arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat diketuai PBK II (KUP) Azhari Mamat, melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah.
Kejadian berkenaan merupakan kes lemas kedua di Kelantan, selepas insiden seorang wanita warga Indonesia yang maut akibat kepala air pada Khamis lalu.