KUALA LUMPUR, 27 November- Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensi Jabatan Kerja Raya (JKR) terus komited melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur kepada kementerian pelanggan bagi mencapai objektif memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek terlibat termasuk pembinaan Kompleks Bangunan Gunasama Persekutuan Kuching dan Projek Pembinaan Bare Base Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Bintulu, Sarawak.
"Kedua-dua projek ini amat berguna kepada yang akan menggunakannya iaitu pejabat-pejabat, jabatan-jabatan dan juga agensi persekutuan yang sekarang tiada tempat di bangunan kerajaan, yang menyewa di premis swasta nanti ditempatkan dalam bangunan yang sama, sebab itu dikata guna sama.
"Projek di Bintulu itu sangat tepat dan sangat berguna kerana wilayah di Sarawak ini, sekarang TUDM hanya di Kuching dan dengan bare base ini saya difahamkan oleh pihak Tentera Udara tadi, ia dikatakan bare base kerana base ini nanti apabila siap mungkin tidak ditempatkan pesawat tetapi, akan diguna semasa ada operasi", katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima dan Surat Pelantikan Pengarah Projek di Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.
Surat Setuju Terima (SST) melibatkan Projek Pembinaan Kompleks Bangunan Gunasama Persekutuan (BGP), Kuching, Sarawak diserahkan kepada syarikat kontraktor Eastbourne Corporation Berhad.
Manakala, SST kedua melibatkan Projek Pembinaan Bare Base TUDM di Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak diserahkan kepada kontraktor terpilih.