fb fb fb fb fb

Konvokesyen ke-63 USM lahirkan graduan sulung program kritikal negara

Upacara Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Tunku Syed Putra pada 25 Nov. 2025/USM

PULAU PINANG, 26 November - Upacara Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) tahun ini, menyaksikan tumpuan bukan hanya kepada jumlah graduan yang diraikan, tetapi kepada kepentingan strategik lahirnya kohort pertama pelbagai program baharu yang dilihat bakal mengisi keperluan kritikal negara dalam dekad mendatang.

Menurut kenyataan universiti itu, tumpuan pada tahun ini bukan sekadar pada angka keseluruhan 9,347 graduan, tetapi kepada kemunculan graduan sulung dalam tiga bidang kritikal negara iaitu Doktor Psikologi, Sarjana Sains dalam Geomatik Pengurangan Risiko Bencana, dan Sarjana Sains dalam Pengurusan Penyakit Tumbuhan Tropika.

Kehadiran kohort pertama ini membuka satu era baharu dalam ekosistem pendidikan tinggi negara, khususnya dalam penyediaan tenaga pakar yang diperlukan bagi menangani isu kesihatan mental, pengurusan risiko bencana, keselamatan makanan, dan kecerdasan sains bumi.

Ia sekali gus menandakan peranan USM sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan graduan, tetapi turut membangunkan bidang baharu untuk masa depan Malaysia.

Sidang pertama dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, merangkap Canselor USM, menandakan permulaan 14 sidang konvokesyen yang berlangsung pada 25 November sehingga 2 Disember ini.

Dalam upacara yang berlangsung pada Selasa, turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat kepada Penasihat Hartanah PETRONAS, Dato’ Seri Paduka Perancang Bandar (TPr.) Maimunah Mohd Sharif, seorang tokoh terkemuka dunia yang pernah menerajui UN-Habitat.

Penganugerahan itu mengiktiraf sumbangan beliau dalam pembangunan bandar mampan di peringkat global, selain membawa simbolik pemerkasaan kepakaran nasional dalam perancangan bandar, ketika Malaysia sedang memperkukuh agenda pembangunan lestari dan kesejahteraan bandar.

Konvokesyen USM tahun ini turut mengetengahkan naratif lebih luas iaitu institusi pendidikan tinggi bukan sahaja mengeluarkan graduan, tetapi menjadi pusat pemerkasaan pengetahuan baharu dan pembangunan modal insan bertaraf global.

Dengan kemunculan bidang pengajian baharu, pengiktirafan kepada tokoh antarabangsa, serta penglibatan aktif mahasiswa dalam pengurusan akademik dan kokurikulum.

“25 November bukan sekadar bermulanya konvokesyen, tetapi penanda aras baharu kepada hala tuju pendidikan tinggi negara,” menurut kenyataan tersebut.

MAT YUNUS BIN SABRI