KUBANG PASU, 26 November -Polis memberi jaminan bahawa keselamatan penduduk yang terjejas banjir, termasuk mereka yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Shah Abu Shah berkata, penugasan pegawai dan anggota yang mencukupi telah dibuat di semua lokasi terlibat bagi memastikan keselamatan orang ramai terus terpelihara.
Menurutnya, setakat hari ini sebanyak 671 laporan berkaitan banjir telah diterima, namun tiada kes melibatkan kehilangan harta benda atau kemalangan jiwa.
"Pada masa sama, 17 PPS telah diaktifkan di Kedah, dengan 15 daripadanya berada di daerah Kubang Pasu, berikutan peningkatan jumlah penduduk yang perlu dipindahkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau situasi di PPS Dewan Wawasan Jitra, yang kini menempatkan lebih 500 penduduk terjejas banjir.
Mengulas mengenai balai polis yang turut terjejas banjir, Datuk Adzli Shah memaklumkan bahawa Balai Polis Padang Sanai dan Balai Polis Changlun tidak mengalami kerosakan besar, kerana air hanya memasuki kawasan perkarangan sebelum surut dengan cepat.
Beliau turut memaklumkan bahawa 22 anggota polis di daerah Kubang Pasu terjejas akibat banjir, termasuk empat kakitangan awam yang bertugas di kawasan sama.