fb fb fb fb fb

Banjir Kuala Krai, jenazah warga emas dibawa guna bot

Foto APM Daerah Kuala Krai

KUALA KRAI, 27 November- Jenazah seorang wanita warga emas dari Taman Sri Nal, Kuala Krai, Kelantan terpaksa dibawa menggunakan bot untuk dikebumikan petang tadi berikutan kawasan perumahan itu dilanda banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai, Kapten (PA) Abd Fatah Abd Aziz berkata jenazah Faizah Ismail, 78 tahun, meninggal dunia akibat sakit tua dan strok.

"Pihak kami menerima panggilan pada pukul 1.26 tengah hari daripada penghulu bagi bantuan membawa jenazah dari Taman Sri Nal ke Tanah Perkuburan Mukim Batu Jong.

"Jenazah berjaya dibawa keluar dari kediamannya pada pukul 2.15 petang menggunakan bot APM (Angkatan Pertahanan Awam) ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira lima kilometer.

"Laluan ke tanah perkuburan terbabit dinaiki air sedalam dua meter sepanjang satu kilometer.

"Pasukan penyelamat yang terdiri daripada sepuluh anggota mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan dan membantu dalam pengurusan jenazah," katanya kepada pemberita di sini

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM