PUTRAJAYA, 21 Januari - Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menerima 111 permohonan sejak dibuka semula pada November tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata daripada jumlah itu Jabatan Imigresen (JIM) meluluskan 15 permohonan dengan tiga daripadanya sudah berada di negara ini.
Menurutnya, baki permohonan yang belum diluluskan adalah disebabkan penghantaran dokumen yang tidak lengkap.
"Sambutan sekali gus menyangkal dakwaan bahawa syarat ketat yang dikenakan mengurangkan minat warga asing untuk datang ke Malaysia.
"Antara syarat termasuk pemohon perlu mempunyai simpanan tetap RM1 juta," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Ruang Eksekutif Pusat MM2H di Ibu Pejabat JIM, di sini.
Hamzah juga berkata tiada perubahan syarat dikenakan terhadap 27,285 pemegang pas prinsipal dan 27,725 pas tanggungan program MM2H sedia ada yang sebelum ini berada bawah Kementerian, Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Jelasnya, sebelum pengenalan MM2H negara memperkenalkan program seumpama itu pada 1996 yang dikenali sebagai "Silver Haired Programme".
Beliau yakin program tersebut akan berjaya dengan penambahbaikan berterusan yang dilakukan bersama MOTAC, Bank Negara Malaysia (BNM) dan ejen pengendali MM2H terlibat.