fb fb fb fb fb

MOTAC perhalus rungutan pengendali umrah, tangani polisi negara luar secara diplomasi

KUALA LUMPUR, 21 Januari - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan berusaha memperhalus rungutan dan cadangan yang disuarakan agensi-agensi pengendali umrah untuk membantu menyelesaikan kemelut dihadapi mereka.

Ini termasuk isu berkaitan perlindungan insurans, bayaran balik kepada pelanggan dan bantuan pemulihan industri, kata Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, sebarang polisi yang melibatkan dasar negara luar bagaimanapun perlu ditangani secara diplomasi.

"Kita akan mengemukan perkara yang berkaitan dengan insurans, berkaitan agensi pelancongan supaya mereka nak supaya agensi umrah mengendalikan. Memang kita setuju tetapi kita tak dapat mengawal polisi atau dasar daripada negara lain.

"Jadi agak sukar kita nak campur tangan dalam keputusan orang lain ya. Tapi kita perlu menangani secara diplomasi, kita perlu melakukannya secara diplomatik terutama syarikat mengendalikan umrah ini," kata Nancy kepada pemberita selepas merasmikan Restoran Citarasa Sarawak, Kedey Kamek cawangan ke-6 yang dibuka di ibu negara.

Ditanya mengenai kenaikan harga pakej umrah, beliau menjelaskan harga ditetapkan oleh setiap agensi berdasarkan kreativiti yang ditawarkan dalam setiap pakej.

Namun mereka diharap dapat mengekalkan harga pakej yang berpatutan dan mampu milik.

MOTAC dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan bersama selepas mengadakan sesi libat urus Rabu lalu memaklumkan, proses penilaian risiko perjalanan umrah jemaah Malaysia dan SOP akan dimuktamadkan menjelang pertengahan bulan hadapan.



Media Baharu