fb fb fb fb fb

MKI bincang isu penggunaan kalimah Allah, Ogos ini

( Foto Selangor Royal Office)

PUTRAJAYA, 7 Jun- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak dibincangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata baginda sebagai Pengerusi MKI turut berkenan hasil perbincangan itu diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober.

Menurutnya Sultan Sharafuddin memperkenankan perkara itu ketika beliau menghadap baginda hari ini dan mengadakan perbincangan bersama berhubung isu berkenaan.

Dalam sesi menghadap tersebut, beliau menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan menghormati undang-undang yang berkuat kuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri.

Kerajaan Persekutuan juga menghormati peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan Islam di peringkat Persekutuan.

Perdana menteri berkata pandangan baginda selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada Mei lalu iaitu isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemaskan dan diperjelas kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.

Terdahulu Anwar menyembah maklum kepada Sultan Sharafuddin berhubung keputusan kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.

Kata beliau kerajaan memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

(MKI bincang isu penggunaan kalimah Allah, Ogos ini/Selangor Royal Office)

Media Baharu