fb fb fb fb fb

Kenya berminat dapatkan khidmat Malaysia sediakan rumah mampu milik

NAIROBI, 7 Jun- Presiden Kenya William Ruto menyatakan minat kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk bekerjasama selain mendapatkan khidmat kepakaran Malaysia termasuk daripada aspek penyediaan perumahan mampu milik.

Menurut Nga, Malaysia bersedia untuk tujuan itu dan berkongsi kepakaran, latihan serta amalan terbaik dengan mana-mana negara khususnya berkaitan pembangunan sektor perumahan.

Beliau turut menghadiri 10 sesi bilateral bersama rakan sejawat dan pegawai tertinggi daripada China, Columbia, Bahrain, Filipina, Palestin, Qatar, Indonesia dan Emiriyah Arab Bersatu.

“Kesemua sesi bilateral ini merupakan engagement atau jalinan kerjasama yang sangat penting bagi Malaysia dalam meletakkan negara di persada antarabangsa.

"Perumahan mampu milik seperti yang dibangunkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menjadi antara tarikan kepada dialog dan persidangan pada kali ini. Dasar dan program perumahan mampu milik negara menjadi antara model dan rujukan bagi negara-negara membangun dalam penyediaan rumah mampu milik termasuk dari aspek pembiayaan dan pembinaan rumah," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Nga turut menyampaikan ucaptama dalam High Level Interactive Strategic Dialogue on Special Theme of the 2nd Session of the UN-Habitat Assembly dan Program Sampingan dengan China.

Duta Malaysia ke Nairobi, Ruzaimee Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, pegawai-pegawai kanan Kementerian serta Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) turut hadir Pada persidangan tersebut.

(Nga Kor Ming dalam ucapannya di UN-Habitat Assembly/Foto Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan)

Media Baharu